Thursday, March 1, 2007

Cintai al-Quran asas pendidikan Islam


ANAK-anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai. Jika kita hilang anak-anak, ia suatu kehilangan yang sukar ditukar ganti, waima disamakan dengan wang ringgit sekalipun. Kelahiran mereka ibarat kanvas putih yang suci dan bersih. Perjalanan hidup mereka ditentukan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan hidup anak-anak sama ada dengan nilai baik atau buruk.

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam fitrah, maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi seperti binatang yang dilahirkan dalam keadaan selamat sejahtera hingga datang manusia mencacatkannya." (Riwayat al-Bukhari)

Atas faktor itulah Islam amat menitikberatkan aspek pendidikan kepada anak-anak seperti yang ditegaskan dalam hadis tersebut.
Menurut Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamad, antara asas pendidikan yang penting dalam Islam ialah mendidik anak-anak agar cinta kepada al-Quran.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara iaitu cinta nabi kamu, cintakan ahli keluarganya, dan membaca al-Quran, sesungguhnya orang yang menghafaz al-Quran berada di bawah arasy Allah pada hari yang tiada perlindungan melainkan arasynya bersama dengan para Nabi dan golongan terpilih."

Untuk mewujudkan suasana ‘Mesra al-Quran’, setiap muslim yang bertanggungjawab perlu menjadikan membaca al-Quran sebagai rutin yang diamalkan secara konsisten.
Antara waktu yang digalakkan membaca al-Quran ialah selepas selesai solat berjemaah bersama anak-anak. Letakkan sasaran untuk khatam secara bertadarus.
"Bacaan secara kolektif ini pasti akan mendorong semua ahli keluarga beriltizam membaca al-Quran walaupun mereka tidak lagi berada di samping ibu bapa," ujar beliau mengenai kaedah untuk merangsang minat anak-anak agar membaca al-Quran sehingga boleh menghafaz.

Lumrahnya, ibu bapa yang prihatin membaca al-Quran lebih mudah membentuk kecenderungan anak-anak membaca al-Quran berbanding dengan ibu bapa yang kurang menitikberatkan perkara tersebut.
Situasi demikian, jelas beliau, dinamakan sebagai ‘Lisanul hal’ oleh ahli pemikir dakwah Islam seperti as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya yang berjudul at-Tarbiyyah.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Didiklah anak-anak kamu untuk bersolat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan sebatlah mereka jika mereka tidak bersolat apabila mereka berusia 10 tahun."

Demikian juga dalam perkara-perkara ibadah lain seperti puasa dan membaca al-Quran. Ibu bapa dinasihatkan agar menjadikan batasan usia itu sebagai kayu ukur.
Bahkan al-Imam as-Syafie, tokoh pengasas mazhab terkemuka itu, menyatakan mendidik anak-anak pada usia tujuh tahun laksana melakukan ukiran pada batu. Tentunya ia menghasilkan kesan yang lebih berlarutan dalam pembentukan insan yang bakal menjadi apa yang Allah s.w.t. jelaskan dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

Beliau turut mengulas budaya membaca al-Quran. Katanya, kebanyakan muslim membaca surah Yasin pada malam Jumaat sedangkan bacaan al-Quran tidak terbatas pada hari-hari tertentu.
Dalam sebuah hadis yang dianggap sahih oleh al-Albani dinyatakan bahawa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat akan mewujudkan nur di rumah atau tempat yang dibacakan. Pengamalnya akan mendapat kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan perlindunganNya.

Selain menekankan kaedah seperti yang dinyatakan di atas, ibu bapa boleh mendidik anak-anak menerusi perbincangan dan dialog yang membina. Kaedah ini dibuktikan melalui Luqman, seorang manusia yang hodoh fizikalnya berasal daripada keturunan Afrika dan pernah menjadi hamba, tetapi berjaya mendidik anak-anaknya hingga berjaya.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."

Kata Zahazan, adalah menjadi amalan Nabi Muhammad s.a.w. untuk bercerita dan seperti yang terkandung dalam riwayat Bukhari dan Muslim cerita yang pernah Baginda bawakan ialah mengenai kisah tiga orang keturunan Bani Israel yang berkeadaan buta, sopak dan buta.
Melalui kaedah bercerita, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menjelaskan apa yang terdapat dalam al-Quran agar anak-anak memahami isi kandungannya. Hasilnya, ia dapat menyuntik perasaan minat dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah-kisah di sebalik surah-surah al-Quran.

Usaha memberikan ganjaran terhadap kesungguhan membaca al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya, termasuk memasuki pertandingan, juga penting di peringkat awal kerana tabiat anak-anak yang lebih bersungguh-sungguh apabila adanya penghargaan (at-Targhib).

Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa juga dibenarkan menggunakan kaedah hukuman yang dinyatakan sebagai al-Targhib. Setelah diberikan segala bentuk galakan seperti rangsangan dan penghargaan tetapi anak masih lagi ingkar, maka pendidik dibenarkan menggunakan kaedah hukuman.
Al-Imam al-Ghazali dalam bab kepentingan ilmu menerusi kitabnya, Ihya ‘Ulumiddin, menegaskan pendidik bertanggungjawab mengajar anak-anak tentang Islam kerana melaluinya mereka akan terselamat daripada neraka.
"Mengajar anak-anak sama penting dengan mengajar mereka tentang survival dalam hidup. Cuba kita lihat bagaimana keimanan yang dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada para sahabatnya sehingga mereka mampu mendahulukan hak orang lain mengatasi kepentingan diri hingga dipuji Allah s.w.t.," jelas Zahazan merujuk kepada
surah al-Hasyr, ayat 10.
Dalam ayat tersebut, kaum Muhajirin dan Ansar berdoa: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.

Sikap para pendidik pada zaman Rasulullah s.a.w. ialah kepekaan menanamkan akidah dalam diri anak-anak. Keyakinan terhadap perkara seperti ini mampu memberi kesedaran dan meniup keyakinan dalam diri orang seperti Hanzalah al-Ghasil untuk meninggalkan isterinya pada malam pertama perkahwinan demi menyahut seruan jihad.

Begitu juga dengan keyakinan yang berakar dalam diri Usamah Zaid, sahabat yang masih muda untuk terlibat memperjuangkan kalimah Allah pada usia 18 tahun. Kelahiran pendakwah-pendakwah muda seperti mereka adalah hasil daripada ilmu yang dijana dengan baik sejak peringkat awal.

Dengan menjadikan kejayaan mereka sebagai contoh, ibu bapa masa kini wajar mengambil kesempatan membakar semangat anak-anak agar gemar mencari ilmu, berdamping dengan para ilmuwan dan mempraktikkannya.

sumber:
http://www.telagabiru.net.my/index/umum/cintai-al-quran-asas-pendidikan-islam.html

No comments: