Friday, January 6, 2012

amalan untuk memecahkan baru karang...

terjumpa dalam satu tulisan di facebook... semoga bermanfaat untuk diri sendiri dan keluarga di kemudian hari...

Firman Allah SWT : Yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Al-Israa :82)

Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu, yang berkuasa menyakitkan atau menurunkan penyakit sebagai ujian terhadap tahap keimanan manusia ataupun sebagai ’Bala’ balasan kepada mereka yang melanggar batas-batas ketentuanNya. Maha Adil Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani sekelian makhluk ciptaannya, yang menyediakan ubat dan penawar terhadap segala penyakit yang menimpa makhluk ciptaanNya itu. Maha Penyayang Allah yang bukan sahaja menyediakan penawar dan ubat kepada segala jenis penyakit, bahkan memberikan pertunjuk yang jelas jalan mana yang harus dilalui sekelian makhluk demi menjamin kesejahteraan dan kebahgiaan mereka, disamping pertunjuk yang jelas jalan mana yang wajib ditinggalkan demi mengelak, menghindar, mencegah dan menjauhkan mereka dari terjerumus ke arah kebinasaan.

Amalkan baca ayat ini 1X atau 3X pada air suam sebelum minum pagi. Ayatnya ialah:
Surah al-Baqarah: ayat 74

Maksudnya: Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.?
Surah al-Insan: ayat 21

Maksudnya: Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.?


Friday, July 29, 2011

Selamat Datang Ramadhan 2011

Alhamdulillah, Ramadhan menjelma lagi, Bulan yang penuh dengan keberkatan, Rahmat dan keampunan.

Tahun ini permulaan Ramadhan di Ireland agak panjang. Minggu pertama berpuasa sekitar 17 jam. Moga Allah beri kekuatan kepada diri ini, isteri dan anak2 untuk konsisten berpuasa kerana Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya. Moga Ramadhan ini kurangnya meeting dan tugasan-tugasan di office, dan dapat lebih masa membaca Al-Quran, bangun malam Qiamullail, berdoa dan tetap bersama isteri & anak2 solat berjamaah.

Buat ingatan diri ini sempena kedatangan bulan Ramadhan, dan akan cuba berusaha merancang program2 di bulan Ramadhan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. ameen.

Salam Ramadhan 2011..!!

Friday, August 28, 2009

Berdoa adalah kaedah efektif menolak bala...

Sumber: 101 doa daripada hadis-hadis sahih
Ust Zahazan Mohamad

Antara hakikat doa berkaitan kelebihannya, hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain, bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):
"
Qadak itu tidak dapat ditolak melainkan dengan doa" (riwayat Ahmad no. 280, Sunan Ibn Majah no. 90, dianggap hasan oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, no. 1540)

Selain itu Nabi s.a.w. juga menerangkan (maksudnya):
"
Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa" (Riwayat al-Hakim daripada Abdullah bin Umar, Sahih al-Jami'al-Saghir no. 3409)

Alangkah tepatnya bandingan yang dikemukakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal r.a. menerusi kitabnya al-Zuhd, riwayat ke-371 tentang hakikat doa. Beliau berkata bahawa keperluan hamba kepada doa ini tidak ubah seperti seorang manusia yang hampir-hampir lemas di lautan, lalu dia memperolehi sebatang kayu untuk menyelamatkannya daripada karam. Beliau lantas mengucapkan, "Ya Rabb, Ya Rabb". Maka Allah s.w.t. dengan ihsan-Nya yang tinggi mampu menyelamatkan hamba tersebut daripada musibah itu.

Imam al-Ghazali pula menyebut dalam kitab Ihya' Ulumuddin: "
Bagaimana doa boleh mengubah qadak sedangkan qadak sudah ditetapkan dan tidak boleh ditolak lagi? Ketahuilah sesungguhnya antara qadak Allah itu sendiri ialah menolak bala dengan berdoa"

Menurut Imam al-Ghazali lagi, doa adalah sebab untuk menolak bala dan mendatangkan rahmat, sebagaimana baju besi menjadi penyebab untuk menolak dan menahan anak panah dan air menjadi penyebab untuk hidupnya tumbuhan daripada bumi. sebagaimana baju besi menahan anak panah, demikianlah juga doa dan bala saling bertolakan. Bukannya syarat mengiktiraf qadak Allah itu dengan tidak membawa senjata, kerana Allah Taala berfirman dalam surah al-Nisa' ayat ke-71 (maksudnya):
"
Wahai orang-orang yang beriman, berjaga-jaga kamu!
"

Begitu juga tidak disyaratkan bumi itu tidak disiram selepas benihnya disemai. Justeru, perlu disebut, sekiranya qadak menentukan benih itu bercambah dahulu, benih itu pasti bercambah. Jika tidak, ia tidak akan tumbuh. Malah, mengaitkan sebab dengan penyebabnya merupakan qadak yang pertama. Ianya bagaikan sekilas pandangan mata. Lanjutan musabab yang datang selepas sebab secara berperingkat dan teratur dipanggil qadar.

Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa Allah akan menentukan kebaikan. Dia tentukan dengan ada sebabnya. Demikian juga keburukan. Allah tetapkan untuk mengangkat keburukan itu dengan sebab-sebab tertentu.

Sebenarnya doa itu sendiri merupakan sebahagian qadak ketentuan Allah, kerana doa adalah penyebab kepada terangkatnya bala bencana. Allah menentukan kebaikan dengan bersebab. Begitu juga, Allah mengangkat keburukan dan bala bencana dengan adanya sebab. Sebab dan musabab semuanya berlaku menurut ketentuan dan qadak Allah.

Thursday, March 1, 2007

Cintai al-Quran asas pendidikan Islam


ANAK-anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai. Jika kita hilang anak-anak, ia suatu kehilangan yang sukar ditukar ganti, waima disamakan dengan wang ringgit sekalipun. Kelahiran mereka ibarat kanvas putih yang suci dan bersih. Perjalanan hidup mereka ditentukan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan hidup anak-anak sama ada dengan nilai baik atau buruk.

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam fitrah, maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi seperti binatang yang dilahirkan dalam keadaan selamat sejahtera hingga datang manusia mencacatkannya." (Riwayat al-Bukhari)

Atas faktor itulah Islam amat menitikberatkan aspek pendidikan kepada anak-anak seperti yang ditegaskan dalam hadis tersebut.
Menurut Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamad, antara asas pendidikan yang penting dalam Islam ialah mendidik anak-anak agar cinta kepada al-Quran.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara iaitu cinta nabi kamu, cintakan ahli keluarganya, dan membaca al-Quran, sesungguhnya orang yang menghafaz al-Quran berada di bawah arasy Allah pada hari yang tiada perlindungan melainkan arasynya bersama dengan para Nabi dan golongan terpilih."

Untuk mewujudkan suasana ‘Mesra al-Quran’, setiap muslim yang bertanggungjawab perlu menjadikan membaca al-Quran sebagai rutin yang diamalkan secara konsisten.
Antara waktu yang digalakkan membaca al-Quran ialah selepas selesai solat berjemaah bersama anak-anak. Letakkan sasaran untuk khatam secara bertadarus.
"Bacaan secara kolektif ini pasti akan mendorong semua ahli keluarga beriltizam membaca al-Quran walaupun mereka tidak lagi berada di samping ibu bapa," ujar beliau mengenai kaedah untuk merangsang minat anak-anak agar membaca al-Quran sehingga boleh menghafaz.

Lumrahnya, ibu bapa yang prihatin membaca al-Quran lebih mudah membentuk kecenderungan anak-anak membaca al-Quran berbanding dengan ibu bapa yang kurang menitikberatkan perkara tersebut.
Situasi demikian, jelas beliau, dinamakan sebagai ‘Lisanul hal’ oleh ahli pemikir dakwah Islam seperti as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya yang berjudul at-Tarbiyyah.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Didiklah anak-anak kamu untuk bersolat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan sebatlah mereka jika mereka tidak bersolat apabila mereka berusia 10 tahun."

Demikian juga dalam perkara-perkara ibadah lain seperti puasa dan membaca al-Quran. Ibu bapa dinasihatkan agar menjadikan batasan usia itu sebagai kayu ukur.
Bahkan al-Imam as-Syafie, tokoh pengasas mazhab terkemuka itu, menyatakan mendidik anak-anak pada usia tujuh tahun laksana melakukan ukiran pada batu. Tentunya ia menghasilkan kesan yang lebih berlarutan dalam pembentukan insan yang bakal menjadi apa yang Allah s.w.t. jelaskan dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

Beliau turut mengulas budaya membaca al-Quran. Katanya, kebanyakan muslim membaca surah Yasin pada malam Jumaat sedangkan bacaan al-Quran tidak terbatas pada hari-hari tertentu.
Dalam sebuah hadis yang dianggap sahih oleh al-Albani dinyatakan bahawa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat akan mewujudkan nur di rumah atau tempat yang dibacakan. Pengamalnya akan mendapat kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan perlindunganNya.

Selain menekankan kaedah seperti yang dinyatakan di atas, ibu bapa boleh mendidik anak-anak menerusi perbincangan dan dialog yang membina. Kaedah ini dibuktikan melalui Luqman, seorang manusia yang hodoh fizikalnya berasal daripada keturunan Afrika dan pernah menjadi hamba, tetapi berjaya mendidik anak-anaknya hingga berjaya.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."

Kata Zahazan, adalah menjadi amalan Nabi Muhammad s.a.w. untuk bercerita dan seperti yang terkandung dalam riwayat Bukhari dan Muslim cerita yang pernah Baginda bawakan ialah mengenai kisah tiga orang keturunan Bani Israel yang berkeadaan buta, sopak dan buta.
Melalui kaedah bercerita, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menjelaskan apa yang terdapat dalam al-Quran agar anak-anak memahami isi kandungannya. Hasilnya, ia dapat menyuntik perasaan minat dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah-kisah di sebalik surah-surah al-Quran.

Usaha memberikan ganjaran terhadap kesungguhan membaca al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya, termasuk memasuki pertandingan, juga penting di peringkat awal kerana tabiat anak-anak yang lebih bersungguh-sungguh apabila adanya penghargaan (at-Targhib).

Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa juga dibenarkan menggunakan kaedah hukuman yang dinyatakan sebagai al-Targhib. Setelah diberikan segala bentuk galakan seperti rangsangan dan penghargaan tetapi anak masih lagi ingkar, maka pendidik dibenarkan menggunakan kaedah hukuman.
Al-Imam al-Ghazali dalam bab kepentingan ilmu menerusi kitabnya, Ihya ‘Ulumiddin, menegaskan pendidik bertanggungjawab mengajar anak-anak tentang Islam kerana melaluinya mereka akan terselamat daripada neraka.
"Mengajar anak-anak sama penting dengan mengajar mereka tentang survival dalam hidup. Cuba kita lihat bagaimana keimanan yang dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada para sahabatnya sehingga mereka mampu mendahulukan hak orang lain mengatasi kepentingan diri hingga dipuji Allah s.w.t.," jelas Zahazan merujuk kepada
surah al-Hasyr, ayat 10.
Dalam ayat tersebut, kaum Muhajirin dan Ansar berdoa: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.

Sikap para pendidik pada zaman Rasulullah s.a.w. ialah kepekaan menanamkan akidah dalam diri anak-anak. Keyakinan terhadap perkara seperti ini mampu memberi kesedaran dan meniup keyakinan dalam diri orang seperti Hanzalah al-Ghasil untuk meninggalkan isterinya pada malam pertama perkahwinan demi menyahut seruan jihad.

Begitu juga dengan keyakinan yang berakar dalam diri Usamah Zaid, sahabat yang masih muda untuk terlibat memperjuangkan kalimah Allah pada usia 18 tahun. Kelahiran pendakwah-pendakwah muda seperti mereka adalah hasil daripada ilmu yang dijana dengan baik sejak peringkat awal.

Dengan menjadikan kejayaan mereka sebagai contoh, ibu bapa masa kini wajar mengambil kesempatan membakar semangat anak-anak agar gemar mencari ilmu, berdamping dengan para ilmuwan dan mempraktikkannya.

sumber:
http://www.telagabiru.net.my/index/umum/cintai-al-quran-asas-pendidikan-islam.html