Friday, August 28, 2009

Berdoa adalah kaedah efektif menolak bala...

Sumber: 101 doa daripada hadis-hadis sahih
Ust Zahazan Mohamad

Antara hakikat doa berkaitan kelebihannya, hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain, bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):
"
Qadak itu tidak dapat ditolak melainkan dengan doa" (riwayat Ahmad no. 280, Sunan Ibn Majah no. 90, dianggap hasan oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, no. 1540)

Selain itu Nabi s.a.w. juga menerangkan (maksudnya):
"
Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa" (Riwayat al-Hakim daripada Abdullah bin Umar, Sahih al-Jami'al-Saghir no. 3409)

Alangkah tepatnya bandingan yang dikemukakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal r.a. menerusi kitabnya al-Zuhd, riwayat ke-371 tentang hakikat doa. Beliau berkata bahawa keperluan hamba kepada doa ini tidak ubah seperti seorang manusia yang hampir-hampir lemas di lautan, lalu dia memperolehi sebatang kayu untuk menyelamatkannya daripada karam. Beliau lantas mengucapkan, "Ya Rabb, Ya Rabb". Maka Allah s.w.t. dengan ihsan-Nya yang tinggi mampu menyelamatkan hamba tersebut daripada musibah itu.

Imam al-Ghazali pula menyebut dalam kitab Ihya' Ulumuddin: "
Bagaimana doa boleh mengubah qadak sedangkan qadak sudah ditetapkan dan tidak boleh ditolak lagi? Ketahuilah sesungguhnya antara qadak Allah itu sendiri ialah menolak bala dengan berdoa"

Menurut Imam al-Ghazali lagi, doa adalah sebab untuk menolak bala dan mendatangkan rahmat, sebagaimana baju besi menjadi penyebab untuk menolak dan menahan anak panah dan air menjadi penyebab untuk hidupnya tumbuhan daripada bumi. sebagaimana baju besi menahan anak panah, demikianlah juga doa dan bala saling bertolakan. Bukannya syarat mengiktiraf qadak Allah itu dengan tidak membawa senjata, kerana Allah Taala berfirman dalam surah al-Nisa' ayat ke-71 (maksudnya):
"
Wahai orang-orang yang beriman, berjaga-jaga kamu!
"

Begitu juga tidak disyaratkan bumi itu tidak disiram selepas benihnya disemai. Justeru, perlu disebut, sekiranya qadak menentukan benih itu bercambah dahulu, benih itu pasti bercambah. Jika tidak, ia tidak akan tumbuh. Malah, mengaitkan sebab dengan penyebabnya merupakan qadak yang pertama. Ianya bagaikan sekilas pandangan mata. Lanjutan musabab yang datang selepas sebab secara berperingkat dan teratur dipanggil qadar.

Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa Allah akan menentukan kebaikan. Dia tentukan dengan ada sebabnya. Demikian juga keburukan. Allah tetapkan untuk mengangkat keburukan itu dengan sebab-sebab tertentu.

Sebenarnya doa itu sendiri merupakan sebahagian qadak ketentuan Allah, kerana doa adalah penyebab kepada terangkatnya bala bencana. Allah menentukan kebaikan dengan bersebab. Begitu juga, Allah mengangkat keburukan dan bala bencana dengan adanya sebab. Sebab dan musabab semuanya berlaku menurut ketentuan dan qadak Allah.